'Saya Dah Pulangkan Cincin Tunang' - Bapa Elfira Loy, Ini Respon Sufian Suhaimi

Share:

Akhirnya segala sudah terungkai tentang hubungan pertunangan antara pelakon Elfira Loy dan juga penyanyi Sufian Suhaimi.

Sebagai penamatnya kepada kontroversi putus tunang antara Elfira Loy dan Sufian Suhaimi, bapa pelakon itu mengesahkan bahawa dia sudah memulangkan semula cincin tunang mengikut adat di kediaman keluarga Sufian Suhaimi yang terletak di Muar, Johor.

Bapa Elfira Loy telah hadir ke rumah ibu bapa Sufian petang semalam.

Ahmad Sabri Ariffin, bapa kepada Elfira Loy berkata, beliau yang ditemani lapan ahli keluarga dan sanak-saudara bertemu bapa dan bapa saudara Sufian Suhaimi di rumah keluarga Sufian, kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, Sufian tidak berada di rumah ketika majlis pemulangan cincin tunang itu berlangsung.


TIADA JODOH

Ini komen bapa Elfira Loy:

"Kami sekeluarga sudah membuat keputusan memutuskan tali pertunangan antara Elfira dan Sufian.

"Kami anggap antara anak saya dan dia (Sufian) tiada jodoh. Apa juga alasan atau sebab musabab lain itu tak perlulah ditulis kerana ia akan menyakitkan hati dan menyinggung perasaan orang lain.

"Biarlah ia tersimpan erat dan hanya keluarga masing-masing saja tahu,"

Ahmad Sabri mengaku proses pemulangan cinta mengambil masa disebabkan urusan kedua-dua keluarga selain faktor kesesuaian masa.

"Saya pun sibuk dengan urusan kerja. Jika diikutkan, kita mahu serah cincin ini sebelum Elfira mengerjakan umrah pada awal bulan ini. Tapi ada saja halangan. Akhirnya, alhamdulillah segala urusan dipermudahkan semalam,"

SERAH IKUT ADAT

Memperincikan pertemuan semalam, Ahmad Sabri berkata, semuanya dilakukan mengikut adat Melayu.

"Proses penyerahan cincin berlangsung dengan adat Melayu tanpa ada syarat tambahan seperti majlis tunang Oktober lalu.

"Baik keluarga saya dan keluarga Sufian menerima keputusan itu dengan terbuka. Kami masing-masing reda dengan apa yang sudah tertulis dan sepakat meneruskan hubungan baik tanpa perlu bermusuh,"

DUA KELUARGA MALU

Ahmad Sabri juga mengaku selepas segala dirancang tidak menjadi, keluarga kedua-dua pihak terluka dan menanggung malu.

"Saya tak anggap hanya satu keluarga saja yang menanggung malu dan sedih. Sebaliknya, kedua-dua keluarga.

"Sebagai orang Islam dan Melayu kita menerima ketentuan qada dan qadar ini... Kita merancang, Tuhan tentukan.

"Malah, lebih baik dan afdal selepas ini kita tutup saja hal ini tanpa perlu ada lagi kenyataan daripada pihak Elfira dan Sufian termasuk sidang media yang boleh menyinggung perasaan,"

RESPON SUFIAN

Setelah urusan memulangkan cincin selesai, Ahmad Sabri ada berkomunikasi dengan Elfira dan Sufian selepas apa terjadi.

"Saya ada menghantar mesej kepada Elfira sekembalinya dia dari New York, Amerika Syarikat (AS), malam tadi. Saya harap dia kuat dengan dugaan ini.

"Saya harus puji Sufian kerana mesej yang dihantarnya, semalam cukup bagus. Dia beritahu keluarganya sudah maklumkan hal penyerahan cincin. Dia juga minta maaf atas khilaf diri selain meminta halalkan makan dan minum,"

Sebelum ini ibu Elfira, Filzah Yusoff yang mengesahkan anaknya itu sudah putus tunang dengan Sufian Suhaimi.

Pasangan selebriti ini  bertunang pada 6 Oktober tahun lalu.

Sumber: BH

Tiada ulasan