Farid Kamil Menanggung Malu

Share:

Datuk Farid Kamil telahpun membuat sidang media tentang kejadian yang menimpanya baru-baru ini.

Pelakon ini memberitahu kontroversi yang berlaku merupakan titik paling bawah dalam sejarah kehidupannya.

Farid Kamil yang kini berumur 36 tahun berkata, dia juga berasa amat terkilan apabila perkara buruk itu terjadi ketika dia sudah berkeluarga dan mempunyai anak.

Farid memberitahu, dia amat malu setelah fotonya telah tersebar. Peguam Farid Kamil juga ada menyatakan, dan ingin tahun, siapa dalang yang mengambil dan menyebarkan foto Farid ketika pelakon itu ditahan di balai polis.

Ini penjelasan dari Farid Kamil tentang perkara ini di sidang media itu:

"Sebagai seorang selebriti sudah tentu saya rasa berada titik paling bawah dalam kehidupan. Dunia saya seperti bertukar menjadi lain disebabkan faktor yang tidak pasti.

"Gambar-gambar yang tersebar itu memalukan dan perkara ini berlaku sekarang di mana saya mempunyai keluarga dan anak. Saya sangat ralat semua ini berlaku lepas saya berkahwin,"

Farid Kamil berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas yang diadakan di The Loft Event Space, Setia Alam.

Menerusi sidang media itu, Farid menjelaskan kontroversi berlaku kerana dia telah dianiaya oleh pihak tertentu.

Dalam pada itu, Farid berkata, dia bersyukur apabila isterinya pelakon popular Datin Diana Danielle sentiasa memberi sokongan dari belakang.

Ini komennya:

"Isteri saya faham apa yang berlaku dan dia sentiasa beri sokongan. Cuma anak-anak susah untuk jelaskan kepada mereka,"

Dalam pada itu, mengulas soal gelaran Datuk kononnya akan ditarik balik, Farid Kamil memberitahu sehingga kini dia tidak menerima maklum balas rasmi berkaitan penggunaan darjah kebesaran tersebut.

Pelakon tersebut baru sahaja menerima Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk pada 16 Disember lalu.

Bagaimanapun, gelaran itu dipertikaikan selepas dia ditahan berkaitan kes polis yang menimpanya.

Sementara itu, dalam kes berbeza, Farid Kamil menerusi peguamnya Faizul Mohd Nasir memberitahu sudah menghantar notis tuntutan terhadap pihak produksi sebuah drama yang dianggap lalai dan tidak menjaga keselamatannya sebagai seorang pelakon.

Faizul berkata, anak guamnya itu mengalami kudis dan kecederaan teruk pada bahagian kaki akibat penggunaan air kotor dalam sebuah babak drama berkenaan.

Sumber: mStar

Tiada ulasan