Suami Ziana Zain Berdepan Hukuman Berat, Tampil Di Mahkamah Dengan Rambut Dicukur..

Share:

Ini satu lagi perkembangan terkini tentang isu dakwaan kes pukul anak oleh suami Ziana Zain, Armin, 53 tahun.

Pihak pendakwaan telah meminda pendakwaan pertuduhan terhadap suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin ketika prosiding di Mahkamah Majistret, Shah Alam.

Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi memaklumkan, pindaan pertuduhan itu melibatkan Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 326A, Armin boleh dikenakan dua kali ganda tempoh hukuman jika disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 324, jika sabit kesalahan, Armin yang merupakan bapa kepada empat cahaya mata itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Mengikut pertuduhan, Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam.

Kejadian itu dilakukan di antara pukul 8 malam hingga 11 malam pada 24 Februari lalu. Ziana Zain sendiri dikatakan telah membuat report polis tentang kejadian itu.

Armin sebagai tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Sebutan semula kes itu didengar dihadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Sementara itu, Raja Noor Adilla mengekalkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Armin.

Armin yang hadir ke mahkamah pada pukul 9 pagi dengan tangannya bergari dilihat tenang dan penampilannya kelihatan berbeza apabila dia mencukur rambutnya.

Ketika berada dalam kandang tertuduh, Armin dilihat memandang beberapa kali ke belakang bilik mahkamah dipercayai menanti penjaminnya. Dia diwakili peguam, Muhammad Zufar Elias.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk pengurusan kes.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.Armin ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas tiada rakan atau ahli keluarga datang membayar wang jaminan.

Ziana Zain telah bernikah dengan Armin pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18 tahun, dan Muhammad Ammar, 14 tahun, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9 tahun.

Sumber: mStar

Tiada ulasan