Home Top Ad

Responsive Ads Here

Khai Bahar, Neelofa Menang Besar Di Anugerah MeleTop Era 2018.. Ini Keputusan Penuh

Share:
 
Penyanyi Khai Bahar dan juga selebriti Neelofa mendominasi Anugerah MeleTop Era 2018 yang berlangsung semalam.

Anugerah MeleTop Era 2018 telah berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Ahad (semalam).

Para pemenang Anugerah MeleTop Era 2018 dipilih 100% menerusi undian para peminat dan ternyata Neelofa dan Khai Bahar terlalu gah seterusnya menang besar pada malam itu.

Khai Bahar telah membuat kejutan apabila muncul sebagai pemenang kategori utama Anugerah MeleTOP 2018 (AME2018) menerusi kategori Top Top MeleTOP (Lelaki).

Penyanyi berumur 24 tahun yang popular menerusi aplikasi Smule ini telah membolot dua lagi trofi menerusi kategori Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP (Bayang).

Menerusi kemenangan itu, Khai membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, Top Top MeleTOP (Wanita) milik pengacara dan pelakon Neelofa selain membawa pulang trofi menerusi dua kategori lain, Pelakon TV MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Drama lakonannya, Red Velvet bersama Alif Satar turut memenangi menerusi kategori Drama MeleTOP.

Neelofa turut membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000 berserta trofi.

Pelawak popular, Zizan Razak mempertahankan trofi menerusi kategori Artis Lawak MeleTOP yang dimenanginya tahun lalu.

Pengacara program MeleTOP, Nabil Ahmad muncul sebagai pemenang kategori Hos MeleTOP menumpaskan empat calon kegemaran lain, Alif Satar, Datuk AC Mizal, Jihan Muse dan Siti Nordiana.

Sementara itu, AME2018 memberikan Anugerah Khas kepada bekas pembaca berita Dunia Jam 10 di RTM, Datuk Harjit Singh Hullon bagi menghargai bakti beliau dalam bidang penyiaran selama 45 tahun sejak 1971.

Pada 2011, beliau telah menerima pengiktirafan sebagai Penyampai Berita Televisyen Paling Lama Berkhidmat oleh Malaysia Book of Records.

Nabil Ahmad, Neelofa bertindak sebagai pengacara AME2018 bersama hos jemputan iaitu Sabri Yunus, Sherry Alhadad, Jihan Muse dan Zul Ariffin.

Persembahan pembukaan AME2018 diserikan dengan nyanyian daripada Altimet, Ito Blues Gang, Francissca Peter, Kool dan Noh Hujan, Ernie Zakri, Syamel, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, UNIC dan Datuk Ramli Sarip.

Penyanyi Indonesia, Virgoun turut tampil menghiburkan penonton selain persembahan istimewa daripada Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Mas Idayu dan Ruffedge.

Berikut adalah senarai penuh pemenang AME2018

Artis Baharu MeleTOP - Farah Nabilah

Si Cilik MeleTOP - Arif Jiwa Asyraf

Couple MeleTOP - Jep Sepahtu & Sari Yanti

Program Radio MeleTOP - Johara Pagi Era

Penyampai Radio MeleTOP - Johan (Era)

Program MeleTOP - Sepahtu Reunion Live 2017

Hos MeleTOP - Nabil MeleTOP

Artis Lawak MeleTOP - Zizan Razak

Drama MeleTOP - Red Velvet

Pelakon MeleTOP - Neelofa

Grup/Duo MeleTOP - Datuk Seri Siti Nurhaliza Dan Faizal Tahir

Penyanyi MeleTOP - Khai Bahar

Lagu MeleTOP - Bayang (Khai Bahar)

Filem MeleTOP - J Revolusi

Bintang Filem MeleTOP - Nur Fazura (J Revolusi)

Top Top MeleTOP (Lelaki) - Khai Bahar

Top Top MeleTOP (Wanita) - Neelofa


AME2018 disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (124) bermula  pada pukul 9 malam.

Pemilihan pemenang dilakukan berdasarkan seratus peratus undian peminat menerusi laman web khas yang disediakan.

Sumber: mStar / MeleTOP

No comments