"Memang Nak kahwin, Tetapi..." - Amylea AF3

Share:
 
Di usia sudah mencecah 32 tahun, penyanyi dan komposer, Amylea Azizan yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim ketiga sering ditanya tentang perkahwinan.

Amylea yang berjaya mendapat tempat ketiga di AF3 sebenarnya tidak tertekan untuk segera menamatkan zaman solo dengan buah hatinya, Farouk Flava walaupun sudah 10 tahun menjalin cinta.

Penyanyi itu berkata, mereka berdua sepakat hanya akan mendirikan rumah tangga selepas masing-masing mencapai cita-cita yang diimpikan.

Ini penjelasan dari Amylea:

"Insya-Allah, perancangan untuk berkahwin itu memang ada, memandangkan tahun ini genap sedekad kami bercinta. Cuma, buat masa ini, kami berdua mendahulukan kerja berbanding perkara peribadi kerana mahu mencapai apa yang diimpikan.

"Kalau ditanya sasaran perkahwinan, kami menetapkan tahun depan. Jika masih tidak menjadi kenyataan, kami tidak kisah menunggu tahun berikutnya. Usaha ke arah itu memang ada, cuma belum termakbul,"


Ditanya tidakkah gusar dengan ujian yang mendatang apabila bercinta terlalu lama, Amylea memberitahu bahawa dirinya dan juga Farouk sudah melepasi fasa getir itu.

Ini komennya:

"Ketika mula-mula berkawan, kami berdepan pelbagai dugaan, terutama ketika masih dalam peringkat menyesuaikan diri. Tetapi, selepas lima tahun berkawan dan sudah saling memahami antara satu sama lain, semua dugaan itu berjaya kami atasi.

"Alhamdulillah, setakat ini, tidak timbul masalah seperti kehadiran orang ketiga yang cuba mengganggu hubungan kami. Tetapi kalau ada, saya anggap ia penghargaan kerana ada juga orang yang suka dengan kekasih kita,"


Amylea kini telah tampil dengan lagu baru berduet bersama Kaer AF berjudul Tak Pernah Hilang.

Lagu ciptaan sepenuhnya Amylea itu turut dijadikan lagu tema drama rantaian, Nur yang bakal disiarkan di TV3, Ramadan ini.

Amylea pernah menjadi popular setelah bersaing dengan Mawi, Felix dan Marsha di Akademi Fantasi musim ketiga.

Sumber: BH

Tiada ulasan