"Memang saya sedih.." - Pelakon Mr Grey Sentiasa Berhati-hati, Harap Tak Jadi Sasaran Pendengki

Share:

Drama siri popular Mr Grey kini semakin diminati ramai. Para penonton drama itu mula menyukai dua pelakon utama dalam drama terbabit iaitu Fendy Bakry dan juga Eyra Hazali.

Tatkala nama kedua-dua pelakon ini mula menjadi bualan, ada kisah yang kurang baik didengar iaitu penyakit misteri yang dialami oleh Fendy Bakry.

Fendy Bakry terus jadi tumpuan media ekoran penyakit yang dialaminya dan kini sedang menerima rawatan di kampung halamannya di Perlis.

Dalam pada itu, pelakon wanita dalam drama itu iaitu Eyra Hazali memberitahu sakit menimpa Fendy Bakry, membuatkannya sentiasa berhati-hati dengan pergerakannya sebagai anak seni.

Eyra atau nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali, telah menyatakan rasa simpati dengan keadaan yang telah menimpa Fendy Bakry.

Dalam masa sama, pelakon jelita ini mahu memastikan dirinya juga tidak menjadi sasaran mereka yang berfikiran negatif.

Ini kenyataan Eyra Hazali:

"Jujurnya saya pun tidak tahu apa penyakit Fendi yang sebenarnya dan saya tidak boleh bercakap lanjut. Cuma dalam bidang seni, kita perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal.

"Sebagai orang Islam kita kena sentiasa ingat Allah. Kita kena jaga diri dan jaga hubungan dengan Allah setiap masa serta hubungan sesama manusia.

"Biasanya saya akan mengerjakan solat lima waktu serta mengamalkan doa-doa yang sesuai sebelum bergerak ke set penggambaran. Ini rutin dilakukan dan Insya Allah dapat menghindarkan perkara-perkara yang tidak elok,"


Mengulas lanjut, Eyra akui memang ada komen negatif yang dilemparkan kepadanya namun bersyukur kerana belum menerima sebarang ugutan atau kecaman yang keterlaluan daripada peminat di laman sosialnya.

Ini pendedahan dari Eyra:

"Daripada 500 komen cuma ada seorang dua yang komen kurang senang dengan saya. Mungkin usia saya baru 19 tahun tetapi sudah dapat jadi heroin dan ia sukar diterima oleh mereka.

"Tetapi pada saya ini rezeki dan saya dapat menonjolkan bakat sebenar. Biasalah tidak semua orang sukakan kita dan saya tidak anggap ia masalah besar,"


Apabila ditanya tentang keadaan terkini Fendy, Eyra mengakui belum berkesempatan melawatnya di Perlis dan hanya mendapatkan perkembangan terkini menerusi salah seorang saudaranya.

Ini komen Eyra lagi:

"Memang saya sedih apabila diberitahu perkara ini. Saya pernah merancang nak melawatnya tetapi dengan jadual yang padat memang sukar saya nak berbuat demikian.

"Esok saya sudah nak bertolak ke Johor untuk memulakan penggambaran filem Ratu Kala Jengking. Sebelum ini ibu saya ada berkomunikasi dengan Fendy menerusi telefon dan rasanya yang balas mesej diaplikasi WhatsApp itu adalah kakaknya.

"Saya tidak tahu bagaimana keadaan dia tetapi mendoakan agar dia cepat sembuh seperti sediakala," 


Eyra Hazali yang kini berumur 19 tahun, turut meminta para peminat semua agar mendoakan supaya hero Mr Grey itu kembali sihat.

Selain Eyra dan Fendy, drama bersiri Mr Grey arahan Riza Baharudin turut dibintangi pelakon lain seperti Shah Iskandar, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Lisdawati, Gambit Saifullah, Mardiana Alwi, Kayda Roslan dan ramai lagi.

Drama ini membuat tayangan perdana menerusi slot MegaDrama di Astro Ria bermula 9 April 2018 dan kini masih lagi ditayangkan.

Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan